Aktiviti & Berita

MBI DISERU UTAMAKAN PERKHIDMATAN TERAS DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT

Ipoh, 25 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diseru agar terus memberi keutamaan kepada tanggungjawab teras sebagai pihak berkuasa tempatan, di samping memperkukuh inovasi dan agenda bandar pintar selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkata, kemajuan teknologi dan agenda bandar pintar perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berkesan kepada rakyat.

Menurut beliau, konsep bandar pintar tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui penggunaan aplikasi, sistem atau teknologi moden, sebaliknya perlu dirasai secara langsung oleh masyarakat melalui perkhidmatan perbandaran yang lebih baik.

“Rakyat bukan hanya mahu melihat data, angka atau sistem yang canggih. Mereka mahu merasakan kesejahteraan bandar itu sendiri melalui perkhidmatan yang lebih cekap, urusan yang lebih cepat, tindakan yang pantas dan persekitaran bandar yang lebih selesa untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Keterampilan Majlis Bandaraya Ipoh Tahun 2025 yang berlangsung di Ballroom 1, Ipoh Convention Centre, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan warga kerja MBI yang menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi, sahsiah terpuji serta sikap profesional dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan.

Pada majlis itu, seramai 176 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 diraikan atas pencapaian prestasi kerja yang membanggakan. Anugerah tersebut diberikan kepada warga kerja yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk memperoleh markah penilaian prestasi yang tinggi, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik serta bebas daripada sebarang tindakan tatatertib.

Selain itu, seramai 60 penerima Anugerah Keterampilan 2025 turut menerima pengiktirafan atas kecemerlangan dari segi prestasi kerja, penampilan diri, sahsiah, disiplin, kemahiran komunikasi serta keterampilan yang boleh dijadikan contoh kepada warga kerja lain.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Ahmad Suaidi turut menyifatkan MBI sebagai antara pihak berkuasa tempatan yang menjadi kebanggaan Kerajaan Negeri Perak hasil kecemerlangannya menerajui pelbagai inisiatif strategik negeri.

“Banyak usaha pemodenan pentadbiran dan pengurusan kita serahkan kepada MBI. Produk seperti Park@Perak dan Smart I-Box diuruskan oleh MBI. Hasil usaha gigih warga kerjanya, ia telah mengangkat nama baik negeri Perak hingga dikenali di peringkat nasional,” katanya.

Menyentuh aspek pembangunan ekonomi, beliau berkata MBI turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai destinasi pelancongan utama melalui pembangunan dan penambahbaikan pelbagai produk pelancongan, termasuk Concubine Lane, Tasik Cermin, Ipoh Night Market dan Bazar Karat Ipoh.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap prestasi kewangan MBI yang amat baik.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan keupayaan MBI mengurus sumber kewangan secara berhemah, cekap dan berintegriti.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah berkata, majlis berkenaan merupakan manifestasi penghargaan MBI kepada warga kerja yang telah membuktikan komitmen, dedikasi dan kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada dasar, sistem atau perancangan semata-mata, sebaliknya amat bergantung kepada kualiti modal insan yang menggerakkannya.

“Dalam konteks MBI, setiap pegawai dan anggota memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan perbandaran kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan cekap, responsif dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata, bandar raya Ipoh kini terus berkembang sebagai sebuah bandar yang dinamik, berdaya huni serta menjadi tumpuan pelaburan, pelancongan dan aktiviti ekonomi.

Justeru, katanya, warga kerja MBI perlu sentiasa bersedia melakukan penambahbaikan, membudayakan inovasi, mengamalkan kerja berpasukan serta menjadikan integriti sebagai asas utama dalam setiap tindakan.

“Kecemerlangan yang diraikan pada hari ini hendaklah menjadi pemangkin kepada seluruh warga MBI untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada bandar raya Ipoh dan warganya.

“Kepada semua penerima anugerah, jadikanlah pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi dan menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan sekerja,” katanya.

Beliau turut menyeru warga kerja MBI yang belum menerima anugerah pada kali ini agar tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan pencapaian rakan-rakan sebagai inspirasi untuk mencipta kejayaan pada masa hadapan.

MBI berharap penganugerahan ini akan terus menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerjanya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bandar raya Ipoh dan warganya, selaras dengan aspirasi menjadikan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang cemerlang, berintegriti dan sentiasa dekat di hati warga kota Ipoh.

WhatsApp Image 2026 06 26 At 074623
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074637
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074638
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074640
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074643
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074644
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074645
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074646
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074647
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074648
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074649
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074656
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074657
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074714
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074727
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074747
WhatsApp Image 2026 06 26 At 074749

mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 26/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6811270