Aktiviti & Berita

MBI RAI 71 PESARA SEMPENA MAJLIS JASAMU DIKENANG PESARA TAHUN 2025

Ipoh, 9 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini meraikan seramai 71 orang pesara sempena Majlis Jasamu Dikenang Pesara Tahun 2025 yang berlangsung di Grand Ballroom, Tingkat 4, Ipoh Convention Centre.

Majlis tersebut disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, sebagai tanda penghargaan dan penghormatan MBI terhadap khidmat bakti, kesetiaan serta pengorbanan warga kerja yang telah menamatkan perkhidmatan rasmi mereka.

Hadir sama ialah Ahli-Ahli Majlis MBI, Encik A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya, ketua-ketua jabatan, pegawai, para pesara serta ahli keluarga yang diraikan.

Pada tahun ini, Program Jasamu Dikenang meraikan 71 orang penerima yang terdiri daripada 52 orang pesara wajib, 10 orang pesara pilihan dan 9 orang pesara yang telah meninggal dunia.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Bandar Ipoh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pesara atas sumbangan besar mereka dalam membantu membina kekuatan MBI sebagai sebuah organisasi pihak berkuasa tempatan yang terus berperanan memberi perkhidmatan kepada warga kota.

Menurut beliau, setiap kemudahan yang diselenggara, aduan yang diselesaikan, dasar yang dilaksanakan serta perkhidmatan yang sampai kepada masyarakat mempunyai jejak usaha para pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat dalam organisasi ini.

“Di sebalik jalan yang lebih teratur, taman awam yang terpelihara, bandar yang lebih bersih, urusan pelesenan dan penguatkuasaan yang tersusun, hasil yang dikutip serta pembangunan yang dirancang, terdapat tenaga, masa dan kesungguhan warga kerja MBI,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada para pesara yang telah kembali ke rahmatullah serta menyampaikan penghargaan kepada ahli keluarga yang hadir mewakili mereka.

Katanya, nama dan sumbangan Allahyarham dan Allahyarhamah akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah MBI, selain mendoakan agar segala jasa mereka menjadi amal kebajikan yang berpanjangan.

YBhg. Datuk Bandar Ipoh turut menegaskan bahawa kejayaan seseorang penjawat awam tidak pernah dibina secara bersendirian, sebaliknya turut disokong oleh pasangan, anak-anak dan ahli keluarga yang memahami tuntutan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata, sepanjang berkhidmat, para pesara telah meninggalkan bukan sahaja fail, rekod atau tugasan yang telah disempurnakan, tetapi juga ilmu, pengalaman, disiplin, integriti dan nilai profesionalisme yang menjadi panduan kepada generasi penerus.

Dalam masa sama, beliau menyeru warga MBI yang masih berkhidmat agar menjadikan majlis tersebut sebagai peringatan bahawa setiap hari dalam perkhidmatan sedang membentuk legasi masing-masing.

“Apabila tiba masa untuk kita pula melangkah keluar daripada organisasi ini, biarlah kita meninggalkan nama yang disebut dengan rasa hormat, kerja yang menjadi rujukan dan akhlak yang menjadi teladan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan persaraan bukan sebagai titik noktah, sebaliknya satu fasa baharu untuk para pesara menyusun semula kehidupan dengan memberi lebih ruang kepada kesihatan, keluarga, ibadah, persahabatan dan minat yang mungkin pernah tertangguh.

Menurutnya, ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan para pesara masih boleh terus dimanfaatkan melalui kerja kemasyarakatan, persatuan penduduk, badan kebajikan, aktiviti keagamaan, penulisan, perniagaan kecil-kecilan atau apa jua bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau turut mendoakan agar semua pesara dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa, kebahagiaan bersama keluarga, rezeki yang diberkati serta usia yang dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Majlis Jasamu Dikenang Pesara Tahun 2025 ini turut mencerminkan budaya menghargai jasa dan pengorbanan warga kerja MBI yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan bandar raya Ipoh serta kesejahteraan masyarakat.

741735503 1418507463635103 6773164761818216044 N
741805070 1418507286968454 3467184004745166767 N
741940719 1418507470301769 8142191755956528322 N
742102318 1418507446968438 5916655327249026199 N
742102321 1418507500301766 6990303307191603343 N
742267192 1418507490301767 9171575861142461018 N
742417005 1418507453635104 7611971874688177196 N
742417007 1418507370301779 4950901628244460729 N
742489577 1418507426968440 6869891852709038721 N
742895733 1418507413635108 789223010991326418 N
742943116 1418507396968443 4280002318477483562 N
743610020 1418507383635111 7827117506203685014 N
743777245 1418507363635113 7954993475728262081 N
744489422 1418507306968452 5883730326541148098 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 15/07/2026.
  • Jumlah Pelawat 6911549