Ipoh, 15 Jun 2026 — Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak (Siri 4/2026) bertempat di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.
Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan Kerajaan Negeri Perak melalui penyampaian pandangan, cadangan serta aduan untuk didengar dan ditangani menerusi sesi libat urus bersama jabatan dan agensi terlibat.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih mesra, responsif serta berteraskan keperluan rakyat.
Program ini dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, yang meluangkan masa mendengar sendiri maklum balas serta permasalahan rakyat. Turut hadir barisan kepimpinan Negeri Perak dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan.
Hadir sama YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Antara pengisian program termasuk penyediaan pelbagai perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan yang sedia menerima aduan, mendengar cadangan serta membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat, di samping jualan keperluan harian pada harga lebih murah termasuk Jualan Murah/Jualan Rahmah dengan pelbagai barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Platform seumpama ini diharap akan terus menjadi medium yang berkesan bagi menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih pantas, menyeluruh dan berimpak tinggi.