Aktiviti & Berita

SAMBUTAN HARI PAHLAWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN 2026

Ipoh, 31 Julai 2026 – Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan 2026 telah berlangsung dengan penuh istiadat di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pagi ini.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Majlis turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak.

YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut hadir bagi bersama-sama menjayakan sambutan penuh bermakna tersebut.

Majlis dimulakan dengan Hormat Diraja dan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Istiadat diteruskan dengan upacara menurunkan Bendera Malaysia sambil tiupan “Last Post” diperdengarkan, diikuti bacaan doa khas dan deklamasi sajak bagi mengenang jasa, pengorbanan serta keberanian para pahlawan negara.

Tiupan “Rouse” kemudiannya diperdengarkan dan Bendera Malaysia dinaikkan semula sebagai simbol kebangkitan, semangat patriotisme serta penghormatan kepada para pejuang yang telah mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Upacara tersebut disusuli dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak sebelum Kawalan Kehormatan Utama keluar dari perbarisan.

Usai perbarisan, baginda berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Majlis santapan turut diserikan dengan persembahan pantomim bertajuk “Pahlawan” yang mengisahkan Operasi Subuh dalam insiden Al-Ma’unah di Sauk, Perak pada 6 Julai 2000.

Persembahan tersebut mengimbau kembali peristiwa pencerobohan Bilik Gerakan 304 Askar Wataniah, di samping mengenang pengorbanan Koperal Sagadevan A/L Rajoo dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dan Trooper Matthew Anak Medan yang gugur ketika mempertahankan keselamatan negara.

Sambutan Hari Pahlawan diadakan bagi memperingati dan menghargai pengorbanan anggota keselamatan serta para pejuang negara yang telah berjuang dengan penuh keberanian demi mempertahankan tanah air.

Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan kepada seluruh pahlawan negara, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pasukan keselamatan yang terus berkhidmat menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Jasa serta pengorbanan para pahlawan akan sentiasa dikenang. Semangat keberanian, kesetiaan dan cinta akan negara yang ditunjukkan oleh mereka wajar dijadikan teladan oleh seluruh lapisan masyarakat dan generasi akan datang.

Majlis berakhir dengan keberangkatan pulang DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

760160699 1437158865103296 22702663295642619 N
761375926 1437158851769964 193269866179085477 N
761462498 1437158888436627 5733407262119624661 N
761545716 1437158971769952 7489729317120183647 N
761545758 1437158715103311 6986572205071307105 N
761545758 1437158751769974 2090119902854339093 N
762812857 1437158748436641 5857798197776291166 N
762831144 1437158688436647 2609964184280355585 N
762831369 1437158991769950 952157991569436620 N
762937903 1437158691769980 9177954020022744312 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 01/08/2026.
  • Jumlah Pelawat 6989364