Aktiviti & Berita

SESI CABUTAN BERTUAH CUKAI TAKSIRAN MBI TAHUN 2026

Ipoh, 27 April 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menganjurkan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2026 bertempat di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI. Program ini turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi MBI.

Sesi cabutan bertuah tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Mazlan bin Abd Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Ketua Jabatan MBI, ketua kampung serta wakil penduduk.

Program ini diadakan sebagai tanda penghargaan MBI kepada warga kota Ipoh yang telah menjelaskan bayaran cukai taksiran setahun tanpa tunggakan dalam tempoh yang ditetapkan. Penyertaan bagi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2026 telah berakhir pada 28 Februari 2026.

Pada tahun ini, MBI menawarkan sebanyak 228 hadiah menarik dengan nilai keseluruhan RM106,000 kepada pembayar cukai yang layak. Hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah kereta Proton Saga MC3 1.5 Standard.

Selain itu, pelbagai hadiah menarik turut disediakan, termasuk dua buah motosikal, televisyen 65 inci, peti ais 660 liter, Honor Pad, komputer riba, wang tunai serta barangan elektrik lain.

Sebagai penghargaan kepada pembayar awal Cukai Taksiran Tahun 2026, MBI turut menyediakan cenderahati berupa cutlery set kepada 10,000 pembayar awal, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. Sebelum ini, MBI juga telah mengadakan Cabutan Bertuah Cukai Taksiran bagi pembayar awal edisi November dan Disember 2025 pada 16 Januari 2026, dengan hadiah berupa dua buah motosikal.

MBI turut membuka peluang penyertaan cabutan bertuah kepada semua pembayar cukai yang membuat bayaran cukai taksiran setahun tanpa tunggakan melalui pelbagai saluran pembayaran.

Saluran pembayaran tersebut merangkumi Kaunter Pembayaran MBI, Kaunter Pejabat Pos, Kaunter PBT Perak serta pembayaran dalam talian melalui Portal MBI, PBTPay, JomPAY dan perbankan internet.

Bagi pembayaran secara dalam talian dan melalui ejen kutipan, slip cabutan bertuah diproses secara automatik oleh pihak Majlis. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan warga kota membuat pembayaran dengan lebih mudah tanpa perlu hadir ke kaunter, di samping terus berpeluang menyertai cabutan bertuah.

Bagi kutipan bayaran setahun bil cukai taksiran, MBI telah merekodkan sebanyak 128,865 bil dengan jumlah bayaran sebanyak RM71.42 juta. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding tahun 2025, iaitu sebanyak 123,329 bil dengan jumlah bayaran RM68.64 juta.

Pada sesi kali ini, cabutan dilaksanakan bagi menentukan 228 pemenang, merangkumi 200 pemenang hadiah saguhati dan 28 pemenang hadiah utama.

Bagi hadiah-hadiah utama, cabutan susulan akan dibuat pada tarikh yang akan ditetapkan bagi menentukan hadiah yang bakal dimenangi oleh para pemenang.

MBI merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga kota Ipoh yang telah melaksanakan tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran.

Sokongan berterusan daripada warga kota amat penting dalam membantu MBI merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera.

681226925 1356001389885711 1431005061837109878 N
681415383 1356001416552375 5704149134745391260 N
684211346 1356001379885712 174024359921399743 N
684559429 1356001446552372 6911336141965953810 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 16/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6777535