Putrajaya , 10 Julai 2026 - Sesi Libat Urus Pemantapan Penyeragaman Proses dan Prosedur Kelulusan Pembangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Ketua Setiausaha Negara telah berlangsung hari ini dengan menghimpunkan wakil-wakil PBT dari seluruh Malaysia.
Sesi anjuran Pejabat Ketua Setiausaha Negara itu menjadi platform penting bagi membincangkan langkah penambahbaikan serta penyelarasan proses dan prosedur kelulusan pembangunan di peringkat PBT agar dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, telus, seragam dan berkesan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkemas tatacara penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepatkan proses membuat keputusan tanpa mengetepikan aspek pematuhan undang-undang, keselamatan dan kepentingan awam.
Pendekatan yang lebih tersusun dan seragam ini diyakini mampu meningkatkan tahap kecekapan pentadbiran PBT, mewujudkan persekitaran pembangunan yang lebih kondusif serta memperkukuh keyakinan rakyat, pemaju dan pelabur terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hadir bersama barisan kepimpinan serta wakil-wakil PBT lain dari seluruh negara.
Penyertaan MBI dalam sesi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan itu untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan proses kelulusan pembangunan serta memberikan perkhidmatan yang cepat, mesra pelanggan dan berintegriti.
MBI menyambut baik usaha penyeragaman tersebut dan akan terus memberikan kerjasama bagi memastikan setiap inisiatif penambahbaikan dapat diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif, sekali gus menyokong pembangunan bandar raya Ipoh yang mampan, terancang dan sejahtera.