Ipoh, 29 Jun 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hari ini telah menerima Sijil Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) Tahun 2025 daripada Encik Aminuddin bin Ramli, Penolong Pengarah Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Negeri Perak dalam satu sesi penyerahan yang berlangsung di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Untuk makluman, pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) telah menjalankan Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan di Majlis Bandaraya Ipoh pada 24 hingga 25 Jun 2025 yang lalu.
Hasil daripada penilaian tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh telah memperoleh markah sebanyak 93.65 peratus, sekali gus meletakkan tahap keselamatan perlindungan di Majlis Bandaraya Ipoh pada tahap Baik.
Majlis Bandaraya Ipoh turut menerima penarafan 4 Bintang dalam Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan bagi tahun 2025.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Majlis Bandaraya Ipoh dalam memastikan aspek keselamatan perlindungan sentiasa diberi keutamaan, selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus keselamatan di peringkat organisasi.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan inspektorat ini, khususnya warga kerja MBI yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan tahap keselamatan organisasi berada pada tahap yang membanggakan.
