13 November 2024-Y.Bhg. Dato' Rumaiizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Global Doughnut Day 2024 Peringkat Bandaraya Ipoh di Dewan SK Marian Convent pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Dr. Maisarah Ahmad Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Darul Ridzuan, Tuan Abdul Halim bin Saad, Pengarah Kanan-Pentadbiran & Operasi MBI mewakili Setiausaha Bandaraya, Puan Saidatul Maisarah Faiesall, Ketua Unit Polisi Strategi Advokasi, Sunway Centre for Planetary Health, Universiti Sunway, Encik Zulkafli bin Mohamed Mokhtar, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Puan Noni Junaidah binti Mohd Yunos, Penolong Kanan Pentadbiran, SK Marian Convent dan Cik Nadiah Amirah binti Noor Azlan, Yayasan Hasanah.
Hari Ekonomi Donat Sedunia di Bandaraya Ipoh. Global Doughnut Economics Day atau Global Donut Day ini disambut pada bulan November setiap tahun dengan pelbagai acara yang menarik. Pada tahun 2023, ianya disambut pada Hari Low Carbon Day@Ipoh dengan pelbagai acara seperti Global Donut Day Fun Run dan Kuiz serta Pameran berkaitan Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027 yang terbuka kepada orang ramai.
Pada tahun ini, pendekatan diambil untuk mewawarkan konsep ekonomi donat ini kepada murid-murid sekolah rendah kerana mereka lah yang bakal mewarisi planet ini kelak.
Ucapan tahniah dirakamkan kepada semua yang terlibat, khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara, Sekolah Tuan Rumah SK Marian Convent, juga sekolah-sekolah yang mengambil bahagian iaitu SJKC Ave Maria, SJKT Kg. Simee, SK Seri Ampang, dan SK Pasukan Polis Hutan, juga rakan-rakan strategik Majlis Bandaraya Ipoh dalam melaksanakan Ipoh Bandar Ekonomi Donat iaitu Institut Darul Ridzuan IDR, Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University, dan Yayasan Hasanah.
Dalam apa usaha sekalipun, kerjasama yang erat di antara semua pihak amatlah penting sekali bagi mencapai matlamat dan kejayaan. Dalam usaha menjayakan Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027 seperti dihasratkan oleh Kerajaan Negeri Perak dalam Pelan Perak Sejahtara 2030, Majlis Bandaraya Ipoh telah menandatangani MOU dengan Institut Darul Ridzuan sebagai wakil dan "think tank" Kerajaan Negeri Perak dan Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University sebagai rakan ilmu atau "knowledge partner".
Dalam ucapannya, Y.Bhg. Dato' Rumaiizi bin Baharin@ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh
menyatakan kerjasama erat ini telah membuahkan hasil, beberapa kejayaan dicapai untuk bandaraya Ipoh bukan sahaja di peringkat tempatan malahan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau lagi, baru-baru ini semasa Hari Habitat Sedunia, Program Doughnut Economy telah mendapat penganugerahan United Nations 2024 Scroll of Honour Award oleh UN Habitat di bandaraya Queretaro berdekatan Mexico City di Republik Mexico bagi usaha-usaha untuk bergerak dari ekonomi intensif-sumber ke arah ekonomi kitaran dan ekonomi regeneratif.
Beberapa kejayaan lain antaranya penganugerahan Commonwealth Association of Planners untuk Rejuvenation of Concubine Lane dalam kategori perancangan dan pemuliharaan alam bina untuk Lorong Panglima atau Concubine Lane di Pekan Lama Ipoh.
Pelbagai usaha lain telah dilaksanakan bersama pelbagai pihak dengan memberikan keutamaan kepada kerjasama yang sangat ditekankan di bawah Sustainable Development Goals ke 17, SDG ke 17 iaitu Jalinan Kerjasama untuk Mencapai Kejayaan SDG yang lain.
Semoga majlis ini akan membantu MBI merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Ekonomi Donat 2027 dan Bandaraya Bestari Sejahtera.