12 November 2024-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Program Hari Bersama MBI Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia pagi tadi
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Clr. Dato’ Haji Mazlan Bin Abd. Rahman, Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis, Ahli Majlis, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Majlis Bandaraya Ipoh kini dalam proses melaksanakan Penyediaan Senarai Nilaian Baharu Bagi Seluruh Pegangan Dalam Kawasan Pentadbiran Ipoh sebagaimana yang telah termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikehendaki menyediakan Senarai Nilaian Baharu sekali tiap-tiap (5) tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan sebagaimana ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Penyediaan Senarai Nilaian Baharu Bagi Seluruh Pegangan Dalam Kawasan Pentadbiran Ipoh ini juga telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada September 2024 yang lalu.
Senarai Nilaian Baharu ini adalah merangkumi seluruh pegangan dalam Kawasan Pentadbiran Ipoh yang meliputi kawasan seluas 64324.5 hektar / 643.245 km persegi iaitu merangkumi Mukim Hulu Kinta, sebahagian Mukim Sungai Raya dan sebahagian Mukim Sungai Terap.
Mungkin masih ada lagi dalam kalangan orang awam atau pemilik pegangan yang masih belum benar-benar memahami tujuan Penyediaan Senarai Nilaian Baharu. Ianya adalah perlu dilaksanakan atas pertimbangan seperti :
Kegagalan Pihak Berkuasa Tempatan menyediakan dan menguatkuasakan Senarai Nilaian Baharu mengikut tempoh yang dinyatakan dalam Akta 171 boleh menyebabkan cukai taksiran ke atas pegangan baharu tidak dapat dikenakan
Senarai Nilaian Majlis Bandaraya Ipoh sedia ada adalah berdasarkan aras nilaian tahun 1982 di mana nilaian taksiran pegangan tersebut tidak menggambarkan nilai pasaran semasa dan jauh terkebelakang. Dengan mengguna pakai nilaian baharu, ianya akan memberi gambaran sebenar dan lebih tepat kepada pembayar cukai mengenai nilai semasa harta tanah mereka sebagai asas perkiraan cukai yang dibayar.
Melalui kerja-kerja penyediaan Senarai Nilaian Baharu ini secara tidak langsung maklumat dan rekod pegangan bagi akaun cukai harta dapat dikemaskini dari segi nama pemilikan, maklumat lot, nombor bangunan, pecahan lot, kegunaan semasa harta, pengeluaran hakmilik baru, pengubahsuaian bangunan dan lain-lain.
Secara amnya, kos pengurusan dan perbelanjaan pembangunan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, terutamanya kos pembayaran sisa pepejal dan infrastruktur. PBT perlu mencari sumber-sumber hasil yang efisien agar dapat menampung perbelanjaan dan mengimbangi kedudukan kewangan Majlis Bandaraya Ipoh. Kedudukan kewangan yang kukuh dapat menjamin perkhidmatan yang berkualiti dan menjamin keselesaan rakyat.
Secara keseluruhannya, Penyediaan Senarai Nilaian Baharu ini membolehkan Majlis Bandaraya Ipoh menyemak dan menstrukturkan semula kadar-kadar cukai yang dikenakan ke atas semua pegangan agar ianya lebih bersesuaian dengan nilaian semasa dan terkini keseluruhannya.
Mulai bulan Oktober 2024, Majlis membuat edaran notis Senarai Nilaian Baharu ini kepada pemilik pegangan bagi seluruh pegangan dalam Kawasan Pentadbiran Ipoh sebanyak 319,758 keping notis yang merangkumi kawasan perumahan, perindustrian, perdagangan, harta khas, tanah kosong dan juga kawasan perkampungan yang diedarkan samada penghantaran secara fizikal atau secara pos.
Penerimaan Notis Senarai Nilaian Baharu ini telah menyebabkan kegusaran dan kebimbangan penduduk terhadap cukai baru yang dikenakan dan dianggap terlampau tinggi dan membebankan dengan keadaan ekonomi pada masa kini.
Majlis amat prihatin dan mengambil maklum mengenai kegusaran dan kebimbangan yang dirasai oleh seluruh penduduk dan pemilik pegangan dalam Kawasan Pentadbiran Ipoh.
Program Hari Bersama Majlis Bandaraya Ipoh ini memberi peluang dan membuka ruang untuk pemilik pegangan membuat semakan nilaian pegangan dengan lebih teliti dan menyeluruh. Penyediaan kaunter semakan Senarai Nilaian Baharu juga telah disediakan di Bangunan Utama Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Ipoh mulai 24 Oktober 2024 sehingga Disember 2024 untuk memberi kemudahan kepada pemilik pegangan membuat semakan nilaian baharu pegangan tuan-puan.
Majlis juga membuka ruang untuk hadirin sekalian untuk membuat bantahan sekiranya tidak berpuashati terhadap nilaian baharu tersebut dengan menyatakan bantahan tersebut melalui surat rasmi kepada Majlis Bandaraya Ipoh.
Majlis akan mengadakan mesyuarat bantahan secara berfasa iaitu fasa pertama akan diadakan pada penghujung tahun 2024 dan fasa kedua pada tahun 2025. Bagi pemilik pegangan yang telah membuat bantahan, Majlis akan menghubungi tuan-puan melalui surat rasmi untuk menghadiri mesyuarat bantahan tersebut.
Semoga program ini dapat memberi gambaran dan penerangan yang jelas mengenai Penyediaan Senarai Nilaian Baharu Bagi Seluruh Pegangan Dalam Kawasan Ipoh yang telah disediakan serta permasalahan berkaitan cukai taksiran.