Ipoh, 9 Julai 2025 – YBhg. Datuk Mohd Azhar Jamaludin, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA), telah mengetuai delegasi PAFA dalam satu kunjungan hormat serta sesi perbincangan bersama YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, petang tadi.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh barisan Ahli Jawatankuasa PAFA serta beberapa Ketua Jabatan dan pegawai daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pertemuan ini bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara PAFA dan MBI, di samping membincangkan kerjasama pembangunan sukan bola sepak di bandaraya Ipoh, khususnya dalam menyemarakkan semangat kesukanan di kalangan belia dan masyarakat setempat.
YBhg. Datuk Bandar turut menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan komitmen MBI untuk terus menyokong usaha memperkasa industri bola sepak di peringkat akar umbi dan profesional, sejajar dengan aspirasi menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Sukan.