7 Mac 2025 - Unit Komunikasi Strategik MBI, M Roof Hotel, Pasaraya Econsave telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa 1446H/2025M meraikan Anak Yatim dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Perak dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih, Kinta, Perak di M Roof Hotel malam tadi.
Ia telah dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin, Datuk Bandar Ipoh, Y.Bhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Clr. Tuan Muhammad Hamzah bin Dato' Haji Md Hamdan, Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi MBI, Encik Shah Effendy bin Rosman, Pengurus Wilayah Utara 3, Econsave (Cash & Carry Sdn Bhd), Y.Bhg. Datin Noraini Abdullah, Pengerusi & Pengasas Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Perak, Encik Norizan bin Razali, Pengetua, Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin.
Program ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam usaha untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan pada tahun ini serta membantu meningkatkan syiar Islam di Bandaraya Ipoh amnya dan negeri Perak khususnya.
Anak-anak yatim juga telah dibawa ke Pasaraya Econsave Klebang di sebelah petang untuk memilih pakaian raya atas tajaan Pasaraya Econsave.
Majlis Berbuka Puasa yang turut ditaja sebahagiannya oleh M Roof Hotel ini telah disajikan menu bufet Ramadhan yang disediakan oleh pihak hotel bermula daripada 6 Mac sehingga 25 Mac 2025 dengan harga yang berpatutan.
Pihak MBI telah memberikan sumbangan duit raya kepada anak yatim manakala Pasaraya Econsave pula menaja baucer membeli-belah kepada anak-anak yatim berkenaan.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar Ipoh merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pasaraya Econsave dan M Roof Hotel yang telah bersama MBI dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat khususnya Program MBI Prihatin.
Beliau turut berharap lebih banyak lagi pasaraya seperti Econsave dan hotel seperti M Roof menjalankan program yang memberi manfaat kepada wargakota Ipoh yang memerlukan.
Pada masa yang sama, rakan media juga pada setiap tahun sentiasa bekerjasama dengan MBI untuk membuat liputan bagi menggalakkan lebih banyak lagi pasaraya dan hotel untuk tampil menyumbang serta menaja program-program berfaedah demi kesejahteraan wargakota Ipoh yang kurang berkemampuan seumpama ini.