6 Mac 2025-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menyempurnakan Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2025 pagi tadi. Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Pada hari ini, Majlis telah melaksanakan cabutan bagi 228 pemenang cabutan bertuah iaitu 200 pemenang bagi hadiah saguhati dan 28 pemenang bagi hadiah-hadiah utama. Bagi hadiah-hadiah utama, cabutan akan dibuat sekali lagi pada tarikh yang akan ditetapkan bagi menentukan hadiah utama yang akan dimenangi.
Penyertaan Cabutan Bertuah bagi Cukai Taksiran tahun 2025 telah pun berakhir pada 28 Februari 2025 yang lepas. Pada tahun ini, pihak Majlis telah menawarkan 228 hadiah-hadiah yang menarik berupa wang tunai dan pelbagai barangan hebat yang berjumlah keseluruhan RM 100,000 untuk dimenangi.
Wargakota yang bertuah berpeluang memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta Produa Bezza 1.0 G. Selain dari itu, Pihak Majlis juga menawarkan pelbagai hadiah-hadiah menarik berupa 2 buah motosikal, Televison 65 inci, Peti ais 620 Liter, Apple Ipad, Laptop, Mesin basuh 10kg, wang tunai dan beberapa barangan elektrik yang menarik.
Bagi pembayar awal Cukai Taksiran Tahun 2025 pula, pihak Majlis telah menyediakan rebat bayaran sehingga RM5.00 sebagai tanda penghargaan untuk 20,000 pembayar awal tertakluk pada terma dan syarat. Untuk makluman, kuota rebat bagi 20,000 pembayar awal ini telah habis digunakan pada awal bulan Januari 2025.
Mulai tahun 2025 ini, pihak Majlis juga telah membuka peluang penyertaan kepada SEMUA saluran pembayaran yang membuat pembayaran Cukai Taksiran Setahun dan tanpa tunggakan iaitu di Kaunter Pembayaran Majlis Bandaraya Ipoh, Kaunter Pejabat Pos, Kaunter PBT Perak serta pembayaran atas talian iaitu pembayaran melalui Portal MBI (d-mbi@ipoh), PBTPay, Jompay dan juga perbankan internet.
Bagi pembayaran atas talian dan juga melalui agen kutipan, slip cabutan bertuah akan diproses secara automatik oleh pihak Majlis. Ini merupakan langkah untuk menggalakkan wargakota membuat pembayaran tanpa perlu hadir ke kaunter tetapi masih boleh menyertai Cabutan Bertuah.
Bagi kutipan bayaran setahun bil cukai taksiran, Majlis telah merekodkan 131,272 bil dengan catatan jumlah bayaran sebanyak RM 60.79 juta.
Semoga sokongan padu yang berterusan dari wargakota kepada Majlis dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera.