27 April 2025 - Program Lestari Alam Sempena Hari Bumi 2025 telah dilaksanakan di Eco Park 1, Bandar Seri Botani, Ipoh pagi tadi.
Program ini merupakan inisiatif pihak pemaju swasta iaitu Pinji Botanics Sdn Bhd bersama Institute of Landscape Architect Malaysia (ILAM) dengan sokongan logistik daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Usaha kolaboratif ini bertujuan memperkukuhkan kesedaran komuniti setempat terhadap pentingnya pemeliharaan alam sekitar serta amalan kelestarian dalam kehidupan seharian.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyampaian hadiah Pertandingan Arca Seni Buluh, yang mengiktiraf bakat dan kreativiti peserta dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam menghasilkan arca menggunakan bahan semula jadi, selari dengan prinsip pemuliharaan sumber asli.
Acara penanaman pokok teduhan turut diadakan yang melibatkan tetamu kehormat dan para peserta sebagai simbolik kepada usaha pemulihan bumi (Earth Restoration) dan komitmen bersama dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Penanaman ini mencerminkan aspirasi untuk melestarikan kawasan bandar hijau yang kondusif dan sejahtera untuk generasi akan datang.
Program Lestari Alam Sempena Hari Bumi 2025 ini juga menjadi platform untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama antara sektor awam, swasta, dan komuniti dalam menjayakan agenda pembangunan mampan di bandar raya Ipoh.
Melalui usaha berterusan ini, diharapkan ia dapat memupuk budaya cintakan alam sekitar dan memperluaskan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Puan Norsham binti Abdul Latip merangkap Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mewakili YB Tuan Nik Azmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pinji Botanics Sdn Bhd, rakan-rakan kolaborasi, para peserta, dan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan komitmen dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada tindakan lebih proaktif dalam melestarikan bumi tercinta.