Ipoh, 10 Julai 2025 – Setiausaha Bandaraya Ipoh, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, bersama Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Perak, Encik Mohd Hizaz bin Mohd Ibrahim, telah mengadakan lawatan turun padang ke Taman Kaya, Ipoh petang ini bagi meninjau isu berkaitan pelaksanaan skim komuniti berpagar dan berpengawal yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Lawatan ini turut disertai oleh YBhg. Clr. Encik Lam Yew Tact, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh; wakil Biro Pengaduan Awam Negeri Perak; wakil Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; Persatuan Penduduk Taman Kaya; serta Pengarah-pengarah Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh.
Hasil tinjauan di lokasi mendapati bahawa skim keselamatan yang dilaksanakan di Taman Kaya tidak pernah mendapat sebarang kelulusan rasmi daripada pihak Majlis. Malah, isu ini pernah dibicarakan di mahkamah membabitkan penduduk sebagai pengadu dan pihak persatuan penduduk.
Sesi libat urus yang diadakan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh berkenaan aduan yang diterima serta meneroka pendekatan penyelesaian yang paling sesuai.
Program TURPA ini jelas mencerminkan komitmen Majlis Bandaraya Ipoh dalam mendekati permasalahan masyarakat secara terus di peringkat akar umbi. Ia juga membuktikan kesungguhan pihak berkuasa tempatan untuk menyantuni komuniti, memperkukuh kefahaman dua hala dan merangka penyelesaian secara inklusif serta berperingkat.
Diharapkan, isu ini dapat diselesaikan secara berhemah demi menjamin keselamatan, keharmonian dan kelestarian hidup penduduk, selaras dengan aspirasi menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang sejahtera, progresif dan mampan.