18 November 2024 - Sesi Townhall bagi pemakaian Enakmen Hotel Perak 2023 telah diadakan di Ipoh Convention Centre (ICC), yang bertujuan untuk memperincikan kaedah pelaksanaan Enakmen Hotel yang melibatkan pelesen-pelesen, pengusaha hotel, dan pemain industri dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh. Sesi ini dihadiri seramai lebih 80 pengusaha hotel, pemain industri dan turut dihadiri oleh ketua jabatan dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh.
Hadir sebagai panel utama pada sesi taklimat tersebut adalah Encik Syahrul 'Azrin bin Ghazali, Penasihat Undang-Undang Bandaraya, yang membentangkan dan memaklumkan Enakmen Rumah Tumpangan 1972 telah dimansuhkan dan digantikan kepada Enakmen Hotel Perak 2023. Beliau menekankan kepentingan pematuhan terhadap peruntukan enakmen ini dalam usaha meningkatkan kualiti industri perhotelan dan pelancongan di negeri Perak.
Seterusnya, Puan Nurul Naziriah binti Jalaluddin, Penolong Pengarah Pelesenan, memberikan taklimat mengenai prosedur permohonan lesen di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 serta pelaksanaan pembayaran fi lesen mengikut kategori hotel. Selain itu, beliau memaklumkan bagi permohonan lesen di bawah kategori 5 adalah bermula 1 Disember 2024. Beliau turut menjelaskan dengan terperinci kaedah permohonan dan contoh pengiraan kadar fi lesen yang terkini.
Taklimat yang seterusnya disampaikan oleh Encik Megat Amirul Zaini Jamalullai bin Megat Jamaluddin, Bendahari Negeri, Pejabat Kewangan Negeri Perak, berkaitan tatacara pembayaran Caj Perkhidmatan Tempat (CPT) yang perlu dilaksanakan oleh pengusaha hotel. Rentetan daripada itu, Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT ) akan mula dikutip pada 1 Januari 2025. Beliau turut menjelaskan mengenai cara pembayaran yang sistematik dan efisien bagi memastikan proses kewangan berjalan lancar.
Sesi Townhall diakhiri dengan satu sesi soal jawab yang membolehkan pengusaha hotel dan pemain industri untuk mengemukakan sebarang pertanyaan dan kekeliruan berkaitan pelaksanaan Enakmen Hotel Perak 2023. Sesi interaktif ini memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
Akhir sekali, Sesi Townhall ini merupakan platform penting dalam memastikan pemahaman yang jelas dan tepat mengenai pelaksanaan Enakmen Hotel Perak 2023 dan akan membantu pengusaha hotel serta pemain industri untuk mematuhi undang-undang.