Ipoh, 28 Julai 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University telah menganjurkan satu taklimat berkaitan Pelan Tindakan “Ipoh Doughnut Economics: A City Portrait in Action 2025–2030” bertempat di Dewan Mesyuarat MBI pagi ini.
Taklimat khas ini disasarkan kepada Ahli-ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua-Ketua Unit MBI, dengan tujuan utama untuk menerangkan secara menyeluruh mengenai pelaksanaan inisiatif ekonomi bandar berasaskan konsep Doughnut Economics, iaitu satu kerangka pembangunan yang menyepadukan kesejahteraan sosial dan sempadan ekologi demi masa depan yang lestari.
Mempengerusikan sesi ini ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang menzahirkan komitmen penuh pihak MBI dalam menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar rendah karbon, inklusif dan mampan menjelang tahun 2030.
Taklimat pelaksanaan telah disampaikan oleh pihak Unit Sekretariat Bandar Ekonomi Donat MBI dan pihak Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University.
TPr. Dr. Zulqarnain Mohamad, Ketua Unit Sekretariat Bandar Ekonomi Donat MBI, menerangkan hala tuju strategik pelaksanaan pelan tindakan berdasarkan kerangka Doughnut Economics. Ianya memberikan nilai tambah dan melihat secara holistik perancangan pembangunan MBI yang lain seperti rancangan tempatan Ipoh, Bandar Hijau Pintar dan Pelan Strategik MBI.
Puan Saidatul Maisarah Faiesall, Ketua Penyelidik Dasar dan Komunikasi dari Sunway Centre for Planetary Health, yang berkongsi dapatan serta pendekatan interdisiplin dalam membentuk potret bandar Ipoh dari perspektif sosial, ekologi dan ekonomi. Beliau menerangkan secara terperinci kaitan ekonomi donat dengan prinsip-prinsip SDG serta Planetary Health atau Kesihatan Planet. Kesihatan Planet memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan fizikal serta mental manusia itu sendiri, dan ianya wajib diambilkira dalam memastikan kesejahteraan penduduk.
Pelan tindakan ini merupakan antara inisiatif perintis di Malaysia yang mengadaptasi prinsip-prinsip Doughnut Economics secara tempatan, berpaksikan kepada keadilan sosial, keseimbangan sumber alam dan kecekapan tadbir urus bandar.
Ianya telah disediakan melalui beberapa siri bengkel dan focus group discussions di antara Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University selaku knowledge partner, Institut Darul Ridzuan selaku think tank peringkat negeri dan MBI selaku agensi pelaksana utama di peringkat tempatan. Beberapa sesi townhall dan perbincangan telah turut diadakan sejak penghujung tahun 2023 apabila memorandum persefahaman dimeterai antara MBI, Sunway University dan IDR.
Taklimat ini turut membuka ruang perbincangan bersama antara pihak MBI dan pakar akademik untuk merangka strategi pelaksanaan yang bersifat menyeluruh, inklusif dan berdasarkan data. Ianya selaras dengan aspirasi Ipoh untuk menjadi model rujukan bandar mampan di rantau Asia.
Dengan pelaksanaan pelan ini, Ipoh bakal melangkah ke fasa baharu pembangunan, memperkasakan ekonomi tempatan, melindungi alam sekitar dan menjamin kualiti hidup warga bandaraya.