Ipoh, 11 Jun 2025 – Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Ipoh ke-37, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan Ujian Kemahiran Menembak yang berlangsung di Lapang Sasar Rifle, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, pagi tadi.
Program ini telah dihadiri oleh Y.Bhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, Senior Asisten Komisioner Tuan Shahrum Hashim, Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dan disertai oleh seramai 64 orang peserta yang terdiri daripada Y.Bhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd. Rahim, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis MBI, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan serta pegawai MBI.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran pengendalian senjata api kecil dalam kalangan warga kerja MBI, khususnya dari aspek keselamatan, ketepatan, dan keberkesanan. Selain itu, ia juga memberi penekanan kepada pembinaan keyakinan diri semasa menembak dalam pelbagai kedudukan dan halangan, serta menyemai nilai tanggungjawab dan disiplin yang tinggi dalam penggunaan senjata.
Pada masa yang sama, program ini berfungsi sebagai platform mempereratkan hubungan silaturrahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pengurusan dan pegawai MBI.
Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan pada jam 9.00 pagi, diikuti dengan pembahagian kumpulan peserta. Sepanjang latihan berlangsung, semua prosedur keselamatan telah dipatuhi sepenuhnya di bawah pemantauan dan arahan ASP Mohd Faisal bin Abdul Ghani daripada PGA.
Ujian kemahiran menembak telah dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Centre Fire dan Falling Plate. Antara senjata yang digunakan dalam latihan ini ialah pistol Glock 19, CZ SP-01 Shadow, dan rifle M14, yang merupakan senjata standard yang digunakan dalam latihan profesional.
Menjelang penutup program, peserta yang mencatat markah tertinggi telah menerima cenderamata dan medal sebagai tanda penghargaan atas prestasi cemerlang mereka.
Penganjuran aktiviti seperti ini membuktikan komitmen berterusan MBI dalam memperkasa kecemerlangan kendiri, di samping memperkukuh budaya kerja berpasukan, profesionalisme dan integriti dalam kalangan warga kerjanya.